Article Summary
Tiada kerja yang mudah. Tetapi pertanian bukan lagi kerjaya lapuk. Ia adalah industri masa depan yang mampu memberikan pulangan lumayan. Generasi muda seharusnya melihat potensi besar pertanian moden, khususnya dalam memajukan tanaman asli Sarawak yang belum diteroka sepenuhnya.”
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Benedict Anak Miden
Memilih kerjaya dalam bidang kotor, merbahaya dan sukar (3D) seperti pertanian bukanlah pilihan popular dalam kalangan generasi muda. Hakikatnya bidang ini menawarkan pelbagai peluang pendapatan yang tinggi, terutamanya apabila diterapkan dengan teknologi moden.
Bagi Pegawai Pertanian di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), Sylvester Igak Kana, minat terhadap dunia pertanian sudah berputik sejak kecil lagi. Dibesarkan dalam keluarga petani lada hitam di Sarawak, beliau menyaksikan sendiri jerih perih serta potensi besar bidang ini dalam membangunkan kehidupan masyarakat luar bandar.
“Saya memilih kerjaya ini kerana ingin menyumbang kembali kepada negeri kelahiran saya yang masih banyak menggunakan teknik pertanian secara konvensional,” jelas beliau.
Beliau percaya bahawa teknologi pertanian moden adalah kunci untuk melonjakkan produktiviti dan menarik minat generasi muda. Justeru, beliau aktif menyertai pelbagai program khidmat komuniti untuk mendekatkan teknologi kepada masyarakat.
“Orang kampung hanya akan percaya bila mereka lihat sendiri keberkesanan kaedah moden. Sebab itu, saya turun padang dalam program-program melibatkan komuniti, sama ada di dalam kampus mahupun di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau bersama pasukan UPMKB bersama komuniti di Bario, Mulu dan beberapa lokasi sekitar daerah Bintulu bukan sahaja memperkenalkan teknologi pertanian terkini, malah membina keyakinan dan pengetahuan dalam kalangan petani tempatan.
Berbekalkan pengalaman lebih dua dekad dalam sektor ini, bapa kepada empat anak ini juga mahu melihat perubahan persepsi terhadap kerjaya sebagai petani.
“Tiada kerja yang mudah. Tetapi pertanian bukan lagi kerjaya lapuk. Ia adalah industri masa depan yang mampu memberikan pulangan lumayan. Generasi muda seharusnya melihat potensi besar pertanian moden, khususnya dalam memajukan tanaman asli Sarawak yang belum diteroka sepenuhnya.”
Beliau yakin bahawa dengan penerapan teknologi canggih dan sokongan pendidikan berterusan, pertanian mampu menjadi pemacu ekonomi luar bandar, khususnya bagi penduduk rumah panjang dan petani skala kecil dan sederhana di seluruh negeri Sarawak.
Date of Input: 30/04/2025 | Updated: 30/04/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA