Ringkasan Artikel
Artikel ini menekankan pentingnya penjagaan kesihatan mata melalui amalan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, rehat daripada skrin secara berkala, penggunaan pelindung UV, tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal, dan pemeriksaan mata berkala. Faktor seperti merokok, pengambilan alkohol berlebihan, dan pendedahan sinaran UV boleh meningkatkan risiko penyakit mata serius seperti katarak dan degenerasi makula. Oleh itu, langkah pencegahan awal dan perubahan gaya hidup yang konsisten amat penting untuk mengekalkan penglihatan yang sihat demi kesejahteraan jangka panjang.
Oleh: Encik Mohammad Nor Fitri bin Hasan, Pegawai Optometri, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia
Mata merupakan anugerah yang tidak ternilai dimiliki oleh setiap manusia. Namun, kita sering mengabaikan kesihatannya. Pilihan gaya hidup seperti tabiat pemakanan, penggunaan masa di hadapan skrin yang berlebihan, dan pendedahan kepada unsur-unsur berbahaya boleh memberi kesan mendalam kepada penglihatan kita dari masa ke masa. Dalam artikel ini, saya ingin berkongsi bagaimana keputusan harian anda mempengaruhi kesihatan mata serta memberikan petua praktikal untuk melindungi penglihatan anda demi masa depan.
Pendedahan berpanjangan kepada skrin adalah salah satu penyebab ketidakselesaan mata yang paling biasa dalam dunia digital hari ini. Kekejangan mata digital, juga dikenali sebagai sindrom penglihatan komputer, ditandai dengan gejala seperti penglihatan kabur, mata kering dan sakit kepala (Sheppard & Wolffsohn, 2018). Jika anda menghabiskan lebih 10 jam sehari di hadapan skrin, anda berkemungkinan mengalami sakit kepala yang kerap dan ketidakselesaan mata. Anda dinasihatkan untuk mengikuti peraturan 20-20-20 (melihat objek sejauh 20 kaki selama 20 saat setiap 20 minit), serta menggunakan cermin mata penapis cahaya biru. Dalam beberapa minggu, simptom anda akan bertambah baik secara signifikan.
Petua untuk Perlindungan:
Laraskan kecerahan skrin mengikut persekitaran.
Ikuti peraturan 20-20-20 untuk merehatkan mata (American Optometric Association, 2023).
Gunakan penataan ergonomik untuk memastikan jarak pandang yang selesa.
Pemakanan yang sihat adalah penting untuk mengekalkan penglihatan yang baik. Nutrien seperti asid lemak omega-3, lutein, zeaxanthin serta vitamin A, C dan E membantu mengurangkan risiko penyakit seperti degenerasi makula dan katarak (National Eye Institute, 2023). Antara makanan yang disarankan:
Sayur-sayuran hijau berdaun (bayam, kale): Kaya dengan lutein dan zeaxanthin.
Ikan berlemak (salmon, tuna): Tinggi kandungan omega-3.
Buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna terang: Sumber vitamin C dan beta-karoten.
Merokok dan pengambilan alkohol secara berlebihan secara signifikan meningkatkan risiko katarak, AMD dan kerosakan saraf optik (Thornton et al., 2005). Alkohol yang berlebihan juga boleh menyebabkan kekurangan vitamin penting untuk penglihatan. Kajian di Eropah menunjukkan bahawa perokok tegar lebih cenderung mengalami AMD (Chakravarthy et al., 2006). Walaupun rawatan boleh melambatkan perkembangan penyakit tersebut, pesakit tetap memerlukan bantuan penglihatan terhad untuk menjalani aktiviti harian.
Petua untuk Perlindungan:
Berhenti merokok untuk mengurangkan risiko penyakit mata.
Hadkan pengambilan alkohol untuk mengekalkan keseimbangan nutrisi.
Pendedahan berlebihan kepada sinaran ultraviolet (UV) boleh menyebabkan katarak, fotokeratitis dan degenerasi makula (Taylor et al., 1988). Lindungi mata anda, terutama jika gemar melakukan aktiviti luar seperti mendaki, bercucuk tanam atau menangkap ikan. Mengabaikan pemakaian cermin mata hitam semasa aktiviti ini boleh membawa kepada katarak peringkat awal.
Petua untuk Perlindungan:
Pakai cermin mata hitam dengan perlindungan UV 100%, walaupun pada hari berawan (World Health Organization, 2023).
Gunakan topi bertepi lebar untuk perlindungan tambahan.
Tidur yang tidak teratur boleh memberikan kesan negatif kepada kesihatan mata. Tidur yang mencukupi membolehkan mata berehat dan memperbaiki diri. Kurang tidur boleh menyebabkan mata kering, kekejangan dan keletihan mata.
Petua untuk Tidur yang Lebih Baik:
Elakkan menggunakan skrin satu jam sebelum tidur.
Kekalkan jadual tidur yang konsisten.
Cipta persekitaran tidur yang gelap dan tenang.
Kekurangan aktiviti fizikal dan obesiti dikaitkan dengan penyakit seperti diabetes, yang boleh meningkatkan risiko retinopati diabetes dan penyakit mata lain (Harvard Health Publishing, 2023).
Petua untuk Kekal Aktif:
Amalkan senaman secara teratur seperti berjalan kaki atau yoga.
Kekalkan berat badan ideal melalui pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif.
Pantau paras gula darah, terutamanya bagi yang berisiko menghidap diabetes.
Mengabaikan pemeriksaan mata secara berkala menutup peluang untuk pengesanan awal masalah penglihatan. Banyak penyakit mata seperti glaukoma dan AMD berkembang tanpa gejala ketara pada peringkat awal (National Eye Institute, 2023).
Petua untuk Penjagaan Mata:
Jalani pemeriksaan mata menyeluruh setiap tahun atau mengikut nasihat optometris.
Bincangkan sejarah keluarga berkaitan penyakit mata dengan optometris anda.
Pastikan kanak-kanak turut menjalani pemeriksaan mata secara berkala.
Pilihan gaya hidup yang buruk boleh memberi kesan tidak dapat dipulihkan kepada penglihatan anda. Merokok, mengabaikan pemeriksaan mata, serta pendedahan UV yang berlebihan boleh membawa kepada kehilangan penglihatan dan menurunkan kualiti hidup. Namun, dengan intervensi yang tepat dan tabiat sihat, risiko ini boleh dikurangkan.
Lakukan perubahan berikut:
Amalkan diet yang kaya nutrien.
Lindungi mata daripada skrin dan sinaran UV.
Kekal aktif, berhenti merokok, dan jalani pemeriksaan mata secara berkala.
Sebagai penutup wacana, bersempena tahun baru ini, lakukanlah perubahan kecil tetapi konsisten dalam gaya hidup anda kerana ia mampu membawa impak besar dalam mengekalkan kesihatan mata. Pilihan gaya hidup anda hari ini membentuk penglihatan anda esok. Ambillah langkah proaktif — kerana mata anda tiada gantinya. Peliharalah ia dengan penuh perhatian.
Tarikh Input: 16/04/2025 | Kemaskini: 16/04/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA