Article Summary
Kayu bukan sekadar bahan untuk membina bangunan semata, ia adalah simbol harapan, keseimbangan, dan tanggungjawab manusia kepada bumi. Justeru, pengunaan kayu secara bertanggungjawab hari ini adalah satu pelaburan untuk masa depan yang lestari.
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Dalam landskap pembangunan masa kini yang semakin menuntut penyelesaian lestari dan bertanggungjawab, kayu kembali mendapat perhatian sebagai bahan binaan masa depan yang bukan sahaja mesra alam, malah seiring dengan prinsip kelestarian global.
Kayu bukan lagi sekadar bahan tradisional, dengan pengurusan sumber yang bijak dan penggunaan teknologi moden, kini kayu menjadi pilihan strategik dalam industri pembinaan yang prihatin terhadap alam sekitar.
Pengunaan kayu adalah sumber semula jadi yang boleh diperbaharui kerana ia akan terurai secara semula jadi dan mempunyai fungsi sebagai penebat haba yang baik. Kayu juga adalah bahan yang menyumbang pada kecekapan tenaga semula jadi dalam pembinaan struktur bangunan. Ciri-ciri ini bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan tenaga, malah menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon yang kini menjadi agenda utama dunia.
Pensyarah Kanan Jabatan Industri Kayu dan Gentian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Paiman Bawon berkata, produk kayu bukan hanya untuk gaya hidup estetik tetapi pilihan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar bagi manfaat jangka panjang kesihatan bumi dan generasi akan datang.
“Kayu sering dikaitkan sebagai bahan binaan masa depan kerana mampu memberi penyelesaian hijau dan lestari. Dengan inovasi teknologi, ianya lebih baik dari bahan binaan lain dalam aspek kelestarian, kecekapan dan impak alam sekitar.
“Produk kayu yang diurus secara mampan melambangkan komitmen terhadap pemeliharaan bumi demi kesejahteraan generasi akan datang,’’ katanya pada Sambutan Hari Kayu Sedunia 2025 hari ini.
Tambahnya, kelestarian penggunaan kayu bergantung kepada amalan yang menyeluruh dan bertanggungjawab. Hutan perlu diurus dengan cekap agar sumber ini terus dinikmati tanpa menjejaskan ekosistem.
“ Produk kayu juga perlu disertakan dengan pensijilan yang sahih, menandakan bahawa bahan tersebut diperoleh daripada hutan atau ladang hutan yang diurus dengan betul dan mengikut piawaian kelestarian.
“Di samping itu, kegiatan pembalakan haram yang merugikan negara dan alam sekitar perlu dibenteras melalui penguatkuasaan undang-undang ketat. Pendidikan kepada masyarakat juga penting supaya peka dan mampu membuat pilihan yang bijak dengan menyokong produk yang mematuhi amalan kelestarian,” ujarnya.
Beliau percaya masyarakat yang mempunyai maklumat jelas dan telus akan memilih produk yang bertanggungjawab dan bermoral untuk menyokong masa depan bumi. Sambutan ini adalah selari dengan iltizam UPM untuk memperkukuh amalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Kesedaran dan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, penggiat industri, dan pengguna amat penting dalam memastikan industri berasaskan kayu ini berkembang dengan mampan.
Katanya, kayu bukan sekadar bahan untuk membina bangunan semata, ia adalah simbol harapan, keseimbangan, dan tanggungjawab manusia kepada bumi. Justeru, pengunaan kayu secara bertanggungjawab hari ini adalah satu pelaburan untuk masa depan yang lestari.
Date of Input: 22/05/2025 | Updated: 22/05/2025 | syamilakamarul
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA